Thursday, November 28, 2013

Bunga Lapik Pinang: Pandangan Islam terhadap tradisi dan kemodenan


Bunga lapik pinang merupakan adat dalam perkahwinan Melayu Brunei. Bunga lapik pinang secara tradisinya adalah merupakan hiasan daripada daun sirih yang berisi kain putih beserta sebentuk cincin yang dijadikan sebagai salah satu hantaran yang WAJIB diberikan oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. 
Gambar bunga lapik pinang. Pada zaman moden, kain putih disimpan pada satu hantaran diasingkan dengan daun sirih dan sebentuk cincin. Tradisinya kain putih disimpan bersama dengan daun sirih dan sebentuk cincin.

Kain putih ini kemudiannya diletakkan di atas katil pengantin. Fungsinya adalah untuk menentukan sama ada perempuan yang baru dikahwini itu masih dara/perawan atau sebaliknya. Pengantin akan menggunakan  kain putih sebagai alas pada malam pertama mereka 'bersama'. Kain ini seterusnya akan dibawa kepada keluarga pengantin lelaki semasa upacara 'mulih tiga hari' atau 'mulih tujuh hari' yang bermaksud balik ke rumah pengantin lelaki selepas hari ketiga atau hari ketujuh mereka tinggal di rumah pengantin perempuan. Keluarga pengantin lelaki akan melihat sama ada terdapat warna yang menunjukkan 'dara' pengantin perempuan pada kain putih tersebut.

Jika dalam satu majlis perkahwinan, pihak lelaki tidak memberikan bunga lapik pinang sebagai hantaran kepada pengantin perempuan, masyarakat pada masa itu akan mempersoalkan malah menimbulkan prasangka yang tidak baik atau bagi mereka itu adalah satu petanda bahawa pengantin perempuan itu sudah pernah berkahwin atau sudah 'ditebuk' musang. Begitu halnya semasa penyerahan kain bunga lapik pinang kepada keluarga pengantin lelaki, jika tiada 'bukti' yang mereka cari untuk menentukan 'dara' pengantin perempuan, boleh menimbulkan tindakbalas yang negatif seperti fitnah, penceraian dan sebagainya.

Dalam zaman moden ini, adat bunga lapik pinang tidak lagi menjadi hantaran WAJIB untuk disediakan oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Kedatangan agama Islam telah merubah perspektif masyarakat terhadap adat tradisi ini. Adat ini juga telah diharamkan dan ditegah kerana dianggap tidak lagi relevan. Hanya sebilangan masyarakat yang masih terikat kepada adat masih mengamalkannya tetapi kebanyakannya sudah tidak lagi meneruskan adat ini.

Jika dianalisis, kain putih mempunyai pelbagai fungsi dalam majlis perkahwinan. Dalam hal ini adalah sebagai alas katil. Secara tradisinya kain putih adalah sebagai adat iaitu untuk alas katil bagi pengantin baru yang fungsinya sebagai penentu ‘dara’. Fungsi ini jelas bertentangan dengan agama Islam kerana boleh menimbulkan fitnah, menghancurkan hubungan kekeluargaan dan mengaibkan pengantin yang mana perbuatan seperti ini adalah ditegah dalam Islam. Ia bukanlah membawa kepada kebaikan malah menyebabkan perbalahan dan perpecahan jika tidak betepatan dengan yang dikehendaki. Fungsi kain putih dalam adat ini adalah tidak betul kerana ia kain putih tersebut tidaklah tepat untuk dijadikan sebagai pengukur kehormatan dan kesucian seorang perempuan.




Selain daripada fungsi tersebut, dalam majlis perkahwinan, kain putih secara tradisi dan moden digunakan sebagai busana pengantin. Fungsi ini sama sekali tidak bertentangan dengan Islam. Di luar skop perkahwinan pula, kain putih digunakan sebagai pakaian sekolah untuk kanak-kanak, alas meja dan lain-lain yang sifatnya positif dan tidak ada kepercayaan-kepercayaan mengarut dan tidak bertentangan dengan agama Islam.


Kesimpulannya, sesuatu alat itu mempunyai pelbagai fungsi atau peranan yang menimbulkan pelbagai kesan sama ada positif dan negatif. Kepelbagaian fungsi itulah yang perlu dilihat tetapi bukan meletakkan hukuman pada alat itu. Tidak kira secara tradisi atau moden, jika tidak bertentangan dengan Islam, ia bukanlah menjadi satu kesalahan untuk diamalkan, diikuti dan diterima. Seperti contoh yang saya berikan, kain putih itu hanyalah sebagai kain semata tetapi setelah ia terikat dengan adat dan mempunyai fungsinya, ia telah menjadikan kain putih sebagai simbol negatif.

Saturday, November 23, 2013

Pandangan Islam Terhadap Tradisi Dan Kemodenan (Islamic View Of Heritage And Modernity) Oleh Khalif Muammar A. Haris

Pada pandangan saya, artikel ini membicarakan tentang tradisi dan kemodenan dari perspektif Islam dan Barat yang saya akui jelas mempunyai perbezaan yang amat ketara. 

TRADISI

Perkataan 'tradisi' memberi konotasi yang negatif menurut pandangan Barat. Mereka melihat tradisi tidak relevan untuk dijadikan panduan dan pedoman dalam kehidupan kontemporari. Tradisi lebih kepada cerita dongeng dan mitos yang diturunkan dari generasi ke generasi melalui komunikasi lisan.



"As soon as tradition has come to be recognized as tradition, it is dead" (Bloom: 1987)


 
Berbeza dengan pandangan Islam yang menghormati dan menghargai tradisi kerana melalui tradisi seorang Muslim dapat memahami Islam dengan lebih benar. Istilah tradisi biasanya digunakan dalam menggambarkan karya-karya yang merujuk kepada kerangka pemikir Islam seperti Turath yang berperanan dalam memandu dan membimbing umat Islam dalam menjalani kehidupan yang lebih baik.

KEMODENAN

Perkataan 'kemodenan' pula menurut pandangan Barat ialah satu fasa sejarah Barat yang sedang melalui pasca-tradisi, pasca zaman pertengahan yang dicirikan dengan industrialisme, kapitalisme, sekularisme dan negara-bangsa yang juga dikenali sebagai the age of reason (zaman akal). Mereka juga menekankan sains dan teknologi dan kemajuan material.
 

Berbeza dengan sejarah Islam yang menganggap agamalah yang mendasari segala aspek pembangunan seperti pendidikan dan politik. Material dan sains dan teknologi dianggap bukan esensial dan bukan juga sebagai pengukur kemajuan dan pembangunan yang sebenar. Selain daripada agama, kekuatan roh dan akal serta kepentingan menuntut ilmu adalah yang ditekankan dalam Islam. Islam tidak menentang kemajuan namun perlu berada di jalan yang lurus agar bertepatan dengan Islam. 


Pada pandangan saya pula, tidak salah jika kita mahu menerima kemodenan yang ada pada masa ini. Malah bagi saya kita juga menggunakannya dalam kehidupan sehari-hari seperti keenderaan, handphone, laptop yang dihasilkan melalui teknologi moden dan material seperti pakaian, aksesori, make-up dan lain-lain asalkan tidak bertentangan dengan agama Islam dan selagi tidak ada unsur yang membawa kepada 'kemudaratan' terutama pada agama Islam itu sendiri. Kita sendiri boleh menilai baik dan buruk sesuatu itu sebelum menerimanya.


Monday, November 18, 2013

The Worldview of Islam An Outline by Syed Muhammad Naquib Al-Attas

Pada pandangan saya, artikel ini membincangkan tentang pandangan dunia dari perspektif Islam serta perubahan pandangan dunia itu sendiri mengikut arus zaman. Pandangan dunia dari perspektif Islam adalah bukan berdasarkan kepada dunia fizikal dan juga penglibatan sosial, politik dan budaya manusia semata-mata. Ia merangkumi kedua-dua aspek iaitu al-Dunya dan al-akhirah di mana aspek Dunya, mesti berkaitan dengan cara yang mendalam dan tidak boleh dipisahkan kepada aspek Akhirah itu. 

Aspek Dunya dilihat sebagai persediaan untuk Akhirah manakala realiti adalah Haqiqah yang menjurus kepada fakta. Sesuatu fakta pula boleh menjadi kenyataan bagi sesuatu yang palsu (batil) sedangkan realiti adalah kenyataan bagi sesuatu yang benar (haqq).

Pandangan dunia mengikut perspektif Islam juga adalah wawasan terhadap realiti dan kebenaran yang muncul di hadapan mata minda yang mendedahkan tentang semua yang wujud. Ia adalah kajian metafizik yang boleh dilihat malah juga dunia yang tidak dapat dilihat meliputi perspektif kehidupan secara keseluruhannya.  

Dalam artikel ini juga membincangkan tentang perubahan pandangan dunia. Ideologi pengaruh sistem pemikiran antara tafsiran pandangan dunia dan nilai sistem Barat adalah bertentangan di mana pandangan dunia berdasarkan satu sistem pemikiran yang pada asalnya berpusat kepada Tuhan telah beransur-ansur berubah dan berpusat kepada Dunya.

Dalam Islam, kewujudan Tuhan (Allah) adalah melalui pendedahan yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi menurut al-Quran yang berupa ucapanNya mengenai diriNya dan ciptaanNya. Dia adalah Tuhan yang satu, hidup dan berkuasa, mengetahui, bersedia, mendengar dan menglihat dan berkata-kata

Kesimpulannya, kita yang beragama Islam perlu menitikberatkan aspek dunia dan juga akhirat di mana perlunya equality atau keseimbangan antara keduanya. 

There is no doubt that Allah is a true God
 None has the right to be worshiped but Allah