Friday, December 20, 2013

Pembentangan Terakhir SKMM 6013

Assalamualaikum semua. Minggu ini adalah kuliah terakhir bagi kursus SKMM 6013. Kami telah ditugaskan untuk membuat satu pembentangan. Kami ditugaskan untuk mencari sekurang-kurangnya dua link sama ada melalui facebook, blog, surat khabar dan lain-lain kemudian menganalisis dan mengaitkannya dengan artikel Syed Naquib Al-Attas atau Khalif Muammar A. Haris atau Asmaa Mohd Arshad. Di bawah adalah slide pembentangan saya untuk minggu ini.











Memandangkan ini adalah kuliah terakhir kursus ini, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pensyarah kami Dr Masrynna Wati Ahmad atas segala tunjuk ajar dan ilmu yang diberikan kepada kami. Semoga Allah jua membalas jasa Dr. Kepada teman-teman seperjuangan, terima kasih atas perkongsian ilmu selama ini. Semoga kita dapat memanfaatkan segala ilmu yang dikongsisama. Saya sangat gembira sepanjang kuliah ini kerana ia mengeratkan lagi hubungan saya dan kawan-kawan sekalian. Kenangan terindah ini akan saya kenang sampai bila-bila. Saya hanyalah seorang 'perantau' yang ingin menuntut ilmu di negara kalian. Saya berasa sangat bersyukur dan berbesar hati atas penerimaan dan layanan kalian hingga yang membuatkan saya seperti berada di negara sendiri.

Tuan Puteri pergi ke Rasah,
Pulang semula sebelah pagi
Kita bertemu akhirnya berpisah,
Diizin tuhan bersua lagi

Tuesday, December 10, 2013

KONSEP TA’DIB: TERAS FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM oleh Asmaa Mohd Arshad



Artikel membincangkan tentang krisis keruntuhan akhlak yang dikatakan semakin parah dalam dunia tanpa sempadan ini lebih-lebih lagi generasi hari ini dikatakan tidak lagi mampu mempertahankan akidah, akhlak, maruah, nilai, prinsip dan harga diri.

  


Selain itu, dalam artikel ini juga menyentuh tentang isu pendidikan melalui pandangan Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas di mana menurut beliau, pandangan alam (worldview) serta faham-faham asasi kebudayaan Barat telah menyelinap masuk ke dalam ilmu dan budaya hidup Muslim hingga menyebabkan kekeliruan terhadap perkara-perkara teras termasuklah konsep Tuhan, agama, insan, ilmu dan pendidikan. Ia sekaligus menyebabkan keruntuhan adab di kalangan generasi kini.


Ta’dib iaitu penyerapan adab ke dalam diri adalah dasar kepada pendidikan yang sebenar. Dasar ini berkaitan dengan ilmu yang menurut al-Attas terbahagi kepada dua iaitu ilmu pengenalan dan ilmu pengetahuan. Ilmu pengenalan merupakan ilmu fardhu ain yang dituntut ke atas setiap orang Muslim manakala ilmu pengetahuan merupakan ilmu fardhu kifayah yang diwajibkan bagi sebahagian daripada kaum Muslimin sahaja.

Kesimpulannya, perlaksanaan ilmu teras melahirkan generasi yang rapuh jati-dirinya serta pincang akidah dan akhlaknya. Ia bukan sekadar memenuhi keperluan pasaran atau negara tetapi melahirkan insan kamil.

Analogi

Dalam Islam, menutup aurat adalah diwajibkan keatas tiap-tiap Muslim yang cukup syarat. Antara dalil mewajibkan menutup aurat ialah:


Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (Surah Al-A’raaf : Ayat 26)


Pada pandangan saya, dengan berfokuskan kepada kaum perempuan yang beragama Islam, rambut adalah antara aurat yang perlu dilindungi dari dipandang oleh lelaki yang bukan muhrim. Lazimnya kaum perempuan menggunakan tudung kepala bagi melindungi daripada pandangan lelaki.



Masyarakat Barat telah memperkenalkan pelbagai style rambut yang dikatakan lebih bersifat elegant dan up-to-date. Kaum perempuan yang beragama Islam mula terikut-ikut gaya rambut yang terkini hingga 'alpa' akan tanggungjawab yang dituntut dalam Islam. Contoh yang paling ketara ialah artis Melayu yang beragama Islam. Mereka tidak menjaga aurat hingga mendedahkan rambut mereka kepada awam. Mereka sanggup berbelanja besar semata-mata untuk kelihatan cantik dan menawan dengan bertukar-tukar gaya rambut. Bila ditanya atau ditegur, antara jawapan yang menjadi kelaziman ialah mereka belum bersedia untuk bertudung sedangkan jika sudah baligh dan cukup umur, ia menjadi fardu ain iaitu diwajibkan menutup aurat.

Pada pandangan saya, tidak semestinya dengan bertudung, kita itu ketinggalan zaman dan tidak mengikuti trend semasa kerana apa yang penting kita telah mentaati perintah agama dengan menutup aurat. Kita perlu sedar dan beringat bahawa kita telah diajar oleh guru tentang batas-batas aurat semasa di bangku sekolah lagi. Selain itu, ibu bapa juga berperanan dalam melatih anak-anak perempuannya dari awal supaya menjadi amalan dan sebati dalam jiwa anak tersebut agar lebih terpelihara akhlaknya.

Thursday, November 28, 2013

Bunga Lapik Pinang: Pandangan Islam terhadap tradisi dan kemodenan


Bunga lapik pinang merupakan adat dalam perkahwinan Melayu Brunei. Bunga lapik pinang secara tradisinya adalah merupakan hiasan daripada daun sirih yang berisi kain putih beserta sebentuk cincin yang dijadikan sebagai salah satu hantaran yang WAJIB diberikan oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. 
Gambar bunga lapik pinang. Pada zaman moden, kain putih disimpan pada satu hantaran diasingkan dengan daun sirih dan sebentuk cincin. Tradisinya kain putih disimpan bersama dengan daun sirih dan sebentuk cincin.

Kain putih ini kemudiannya diletakkan di atas katil pengantin. Fungsinya adalah untuk menentukan sama ada perempuan yang baru dikahwini itu masih dara/perawan atau sebaliknya. Pengantin akan menggunakan  kain putih sebagai alas pada malam pertama mereka 'bersama'. Kain ini seterusnya akan dibawa kepada keluarga pengantin lelaki semasa upacara 'mulih tiga hari' atau 'mulih tujuh hari' yang bermaksud balik ke rumah pengantin lelaki selepas hari ketiga atau hari ketujuh mereka tinggal di rumah pengantin perempuan. Keluarga pengantin lelaki akan melihat sama ada terdapat warna yang menunjukkan 'dara' pengantin perempuan pada kain putih tersebut.

Jika dalam satu majlis perkahwinan, pihak lelaki tidak memberikan bunga lapik pinang sebagai hantaran kepada pengantin perempuan, masyarakat pada masa itu akan mempersoalkan malah menimbulkan prasangka yang tidak baik atau bagi mereka itu adalah satu petanda bahawa pengantin perempuan itu sudah pernah berkahwin atau sudah 'ditebuk' musang. Begitu halnya semasa penyerahan kain bunga lapik pinang kepada keluarga pengantin lelaki, jika tiada 'bukti' yang mereka cari untuk menentukan 'dara' pengantin perempuan, boleh menimbulkan tindakbalas yang negatif seperti fitnah, penceraian dan sebagainya.

Dalam zaman moden ini, adat bunga lapik pinang tidak lagi menjadi hantaran WAJIB untuk disediakan oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Kedatangan agama Islam telah merubah perspektif masyarakat terhadap adat tradisi ini. Adat ini juga telah diharamkan dan ditegah kerana dianggap tidak lagi relevan. Hanya sebilangan masyarakat yang masih terikat kepada adat masih mengamalkannya tetapi kebanyakannya sudah tidak lagi meneruskan adat ini.

Jika dianalisis, kain putih mempunyai pelbagai fungsi dalam majlis perkahwinan. Dalam hal ini adalah sebagai alas katil. Secara tradisinya kain putih adalah sebagai adat iaitu untuk alas katil bagi pengantin baru yang fungsinya sebagai penentu ‘dara’. Fungsi ini jelas bertentangan dengan agama Islam kerana boleh menimbulkan fitnah, menghancurkan hubungan kekeluargaan dan mengaibkan pengantin yang mana perbuatan seperti ini adalah ditegah dalam Islam. Ia bukanlah membawa kepada kebaikan malah menyebabkan perbalahan dan perpecahan jika tidak betepatan dengan yang dikehendaki. Fungsi kain putih dalam adat ini adalah tidak betul kerana ia kain putih tersebut tidaklah tepat untuk dijadikan sebagai pengukur kehormatan dan kesucian seorang perempuan.




Selain daripada fungsi tersebut, dalam majlis perkahwinan, kain putih secara tradisi dan moden digunakan sebagai busana pengantin. Fungsi ini sama sekali tidak bertentangan dengan Islam. Di luar skop perkahwinan pula, kain putih digunakan sebagai pakaian sekolah untuk kanak-kanak, alas meja dan lain-lain yang sifatnya positif dan tidak ada kepercayaan-kepercayaan mengarut dan tidak bertentangan dengan agama Islam.


Kesimpulannya, sesuatu alat itu mempunyai pelbagai fungsi atau peranan yang menimbulkan pelbagai kesan sama ada positif dan negatif. Kepelbagaian fungsi itulah yang perlu dilihat tetapi bukan meletakkan hukuman pada alat itu. Tidak kira secara tradisi atau moden, jika tidak bertentangan dengan Islam, ia bukanlah menjadi satu kesalahan untuk diamalkan, diikuti dan diterima. Seperti contoh yang saya berikan, kain putih itu hanyalah sebagai kain semata tetapi setelah ia terikat dengan adat dan mempunyai fungsinya, ia telah menjadikan kain putih sebagai simbol negatif.

Saturday, November 23, 2013

Pandangan Islam Terhadap Tradisi Dan Kemodenan (Islamic View Of Heritage And Modernity) Oleh Khalif Muammar A. Haris

Pada pandangan saya, artikel ini membicarakan tentang tradisi dan kemodenan dari perspektif Islam dan Barat yang saya akui jelas mempunyai perbezaan yang amat ketara. 

TRADISI

Perkataan 'tradisi' memberi konotasi yang negatif menurut pandangan Barat. Mereka melihat tradisi tidak relevan untuk dijadikan panduan dan pedoman dalam kehidupan kontemporari. Tradisi lebih kepada cerita dongeng dan mitos yang diturunkan dari generasi ke generasi melalui komunikasi lisan.



"As soon as tradition has come to be recognized as tradition, it is dead" (Bloom: 1987)


 
Berbeza dengan pandangan Islam yang menghormati dan menghargai tradisi kerana melalui tradisi seorang Muslim dapat memahami Islam dengan lebih benar. Istilah tradisi biasanya digunakan dalam menggambarkan karya-karya yang merujuk kepada kerangka pemikir Islam seperti Turath yang berperanan dalam memandu dan membimbing umat Islam dalam menjalani kehidupan yang lebih baik.

KEMODENAN

Perkataan 'kemodenan' pula menurut pandangan Barat ialah satu fasa sejarah Barat yang sedang melalui pasca-tradisi, pasca zaman pertengahan yang dicirikan dengan industrialisme, kapitalisme, sekularisme dan negara-bangsa yang juga dikenali sebagai the age of reason (zaman akal). Mereka juga menekankan sains dan teknologi dan kemajuan material.
 

Berbeza dengan sejarah Islam yang menganggap agamalah yang mendasari segala aspek pembangunan seperti pendidikan dan politik. Material dan sains dan teknologi dianggap bukan esensial dan bukan juga sebagai pengukur kemajuan dan pembangunan yang sebenar. Selain daripada agama, kekuatan roh dan akal serta kepentingan menuntut ilmu adalah yang ditekankan dalam Islam. Islam tidak menentang kemajuan namun perlu berada di jalan yang lurus agar bertepatan dengan Islam. 


Pada pandangan saya pula, tidak salah jika kita mahu menerima kemodenan yang ada pada masa ini. Malah bagi saya kita juga menggunakannya dalam kehidupan sehari-hari seperti keenderaan, handphone, laptop yang dihasilkan melalui teknologi moden dan material seperti pakaian, aksesori, make-up dan lain-lain asalkan tidak bertentangan dengan agama Islam dan selagi tidak ada unsur yang membawa kepada 'kemudaratan' terutama pada agama Islam itu sendiri. Kita sendiri boleh menilai baik dan buruk sesuatu itu sebelum menerimanya.


Monday, November 18, 2013

The Worldview of Islam An Outline by Syed Muhammad Naquib Al-Attas

Pada pandangan saya, artikel ini membincangkan tentang pandangan dunia dari perspektif Islam serta perubahan pandangan dunia itu sendiri mengikut arus zaman. Pandangan dunia dari perspektif Islam adalah bukan berdasarkan kepada dunia fizikal dan juga penglibatan sosial, politik dan budaya manusia semata-mata. Ia merangkumi kedua-dua aspek iaitu al-Dunya dan al-akhirah di mana aspek Dunya, mesti berkaitan dengan cara yang mendalam dan tidak boleh dipisahkan kepada aspek Akhirah itu. 

Aspek Dunya dilihat sebagai persediaan untuk Akhirah manakala realiti adalah Haqiqah yang menjurus kepada fakta. Sesuatu fakta pula boleh menjadi kenyataan bagi sesuatu yang palsu (batil) sedangkan realiti adalah kenyataan bagi sesuatu yang benar (haqq).

Pandangan dunia mengikut perspektif Islam juga adalah wawasan terhadap realiti dan kebenaran yang muncul di hadapan mata minda yang mendedahkan tentang semua yang wujud. Ia adalah kajian metafizik yang boleh dilihat malah juga dunia yang tidak dapat dilihat meliputi perspektif kehidupan secara keseluruhannya.  

Dalam artikel ini juga membincangkan tentang perubahan pandangan dunia. Ideologi pengaruh sistem pemikiran antara tafsiran pandangan dunia dan nilai sistem Barat adalah bertentangan di mana pandangan dunia berdasarkan satu sistem pemikiran yang pada asalnya berpusat kepada Tuhan telah beransur-ansur berubah dan berpusat kepada Dunya.

Dalam Islam, kewujudan Tuhan (Allah) adalah melalui pendedahan yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi menurut al-Quran yang berupa ucapanNya mengenai diriNya dan ciptaanNya. Dia adalah Tuhan yang satu, hidup dan berkuasa, mengetahui, bersedia, mendengar dan menglihat dan berkata-kata

Kesimpulannya, kita yang beragama Islam perlu menitikberatkan aspek dunia dan juga akhirat di mana perlunya equality atau keseimbangan antara keduanya. 

There is no doubt that Allah is a true God
 None has the right to be worshiped but Allah




Saturday, October 26, 2013

Perbincangan dalam kuliah

Dalam kuliah minggu ini, kami diberi tugasan untuk membuat perbincangan secara berkumpulan berdasarkan blog yang diprint oleh Dr Mas Rynna. Minggu ini pasangan saya ialah Kak Sharifah Adilah. Kebetulan warna baju kami adalah sama iaitu purlish-pink. Amboi hihi..

Minggu ini kami mendapat blog yang bertajuk 'SKMM 6013: Komen artikel 'Novel-novel MelayuMutakhir: Analisis Cerminan Nilai Budaya Bangsa' oleh Ashraf Adrutdin iaitu salah seorang rakan sekelas kami.

Dr Mas Rynna menugaskan kami untuk membandingkan dengan petikan dari artikel Ramli Isin iaitu merumuskan dari andaian pendapat Macherey.

Hasil dari perbincangan saya dengan Kak Sharifah Adilah, kami mendapati dua persamaan pendapat antara Ashraf Adrutdin dengan Macherey iaitu:
  1. Mereka berpendapat terlalu sedikit cerminan budaya bangsa yang dapat dihayati dan difahami. Fakta diolah menjadi sebuah cerita menyebabkan pengolahan (imaginasi) menjadi lebih banyak.
  2. Terdapat peniruan budaya sesebuah bangsa dalam novel yang menggambarkan tentang kehidupan dan nilai budaya masyarakat. Kami mengaitkan dengan kisah Embun yang menceritakan tentang kekejaman kaum Jepun semasa menaungi kerajaan Melayu. Watak Embun adalah mewakili kaum wanita yang tertindas zaman penaklukan Jepun walaupun kesahihan fakta tentang watak Embun sebenar tidak diketahui.


Saya dan Kak Sharifah Adilah juga menemui satu perbezaan pandangan antara Ashraf Adrutdin dengan Macherey. Asharf Adrutdin berpendapat novel boleh menjadi alat pemerintah sekiranya kebenaran yang dicitrakan disimpangkan mengikut ideologi pemerintah. Ini akan menyempitkan kebebasan berkarya secara jujur dalam mengungkap nilai, masalah dan keadaan masyarakat.

Apa yang kami fahami tentang kenyataan ini ialah perlunya kebenaran dalam sesebuah karya. Dalam hal ini, misalnya pemerintah, perlu mengemukakan nilai kebenaran bukannya menyimpangkan kebenaran berdasarkan ideologi politik mereka.

Macherey pula berpendapat bukan tanggungjawab penulis untuk mengemukakan kebenaran. Kami setuju dengan pandangan Macherey kerana pada pandangan kami, penulis bebas untuk berkarya sama ada mengemukakan fakta yang benar atau tidak (imaginasi atau berpijak di bumi nyata) kerana penulisan itu memerlukan kreativiti dan tidak kreatif-imaginatif amat sinonim.

Kesimpulannya, kuliah minggu ini amat menarik lebih-lebih lagi berpeluang soal-menyoal antara 'empunya' blog dengan pengkaji. Terima kasih juga pada Kak Sharifah Adilah kerana kami bekerjasama dengan amat baik.

Saturday, October 19, 2013

Teks dan Makna dalam Drama Melayu Moden oleh Solehah Ishak

Dalam genre drama, teks muncul dalam bentuk skrip. Skrip memperaga sebahagian daripada rasa dan makna yang ingin disampaikan oleh dramatis. Selebihnya adalah dalam persembahan/pementasan.

Terdapat tiga bentuk dalam memberi makna drama:
1. Bentuk deklaratif
2. Bentuk imperatif
3. Bentuk interogatif
Pada pandangan saya, teks yang berbentuk deklaratif memberi makna secara direct kerana intipati teks adalah secara terang-terangan. Jika ia dipersembahkan/dipentaskan, ia juga akan mudah untuk difahami tahap pemikiran mereka belum lagi dapat mentafsir makna yang simbolik/berkias/absurd. Misalnya drama Upin Ipin yang sangat ringkas dan jelas hingga memberi kesan menghiburkan disamping pengajaran didalamnya.

 
Bagi teks yang berbentuk imperatif, teks adalah tergantung tanpa ending/kesimpulan dengan harapan pembaca boleh memikirkan segala kemungkinan-kemungkinan yang berlaku walaupun tanpa pengakhiran cerita. Jika dalam persembahan, drama seperti ini juga tidak mengemukakan kesudahan cerita. Sebagai contoh drama 'Anugerah dendam yang terindah' yang tidak memberikan 'ending' bagi hubungan watak utama dan mengatakan jika ada jodoh mereka akan bersama nanti. Audiens boleh memikirkan sendiri kemungkinan-kemungkinan bagi drama ini mengikut persepsi masing-masing.



Bagi teks yang berlapis-lapis ceritanya (seperti cerita dalam cerita, mimpi dalam mimpi dsb) atau bermain dengan makna tersirat, tahap literasi amat penting kerana hanya mereka yang berkebolehan (well educated) khusunya dalam bidang drama atau ilmu kesusasteraan betul-betul boleh memahami dan mempunyai kemahiran dalam menilai sesebuah teks mahupun dalam persembahan. Jika dalam persembahan, mereka ini lazimnya orang yang tahu apa fungsi setiap pergerakan/dialog/interaksi itu. Teks dan persembahan seperti ini walaupun susah untuk difahami, tetapi bila dapat difahami sepenuhnya, ia akan memberi kesan yang amat mendalam.



Kesimpulannya, sesebuah drama perlu memberi makna kepada pembaca/audiens untuk membuktikan persembahan/pementasan itu dapat difahami, dihayati dan diterima bukan sebagai satu teks/persembahan yang kosong.